Tuesday, February 17, 2009

Pusara Kehidupan

Lorong sempit

berdinding kukuh keimanan,

rapuh juga meniti usia.


Kelopak cinta yang ditaburkan

di atas pusara rindu,

bersama siraman air mata duka

pada tanah kehidupan,

adalah nisan kenangan sepanjang jalan.


Semalam adalah luka,

hilang dan sembuh pada tangan yang menadah.

Semalam adalah suka,

semat dan tegar pada hati yang parah.


Hari ini adalah perhitungan,

kematian yang hidup,

untuk harga kehidupan yang mati.



unknown daei


17 Febuari 2009, 12.59 p.m.

Clonskeagh

Dublin


Friday, April 11, 2008

Maafkan Aku...



Ballsbridge,
Dublin, Ireland
4 April 2008
15:30

Monday, April 16, 2007

Nyawa ini harganya apa?

Terima kasih kepada kumpulan Nasyid Al-Qamar dan juga Lagu Kedamaian (Brothers) kerana memercikkan kesedaran serta memutikkan idea menulis puisi di pagi-pagi 16 April. Terimalah rasa hati ini yang ingin di kongsikan...

Jauh merentas benua sana,
terikan tangis insan
meratapi gugurnya yang tersayang,
Juga yang terkapai memohon bantuan
secubit gandum bagi kelaparan sepurnama,
Juga yang berjuang bermatian
mempertahankan pegangan
yang tiada ertinya bagi manusia lain.

Semuanya seolah tuli,
Rintihan seberang sana harganya gelak tawa dunia kita di sini.

Semuanya seolah buta,
Darah merah mencorak baju harganya pakaian mahalan kita di sini.

Nilai nyawa untuk sebutir peluru,
Bertahanlah mereka hari demi hari
untuk nilainya yang esok tiada pasti,
Hanya doa menjadi harapan
agar telinga kita di sini bisa mendengar,
agar mata kita di sini bisa celik,
Biarpun bukan untuk mereka hari ini,
tetapi untuk anak-anak mereka yang turut mengira detik hari
untuk nilai nyawa yang tiada erti.

Kita di sini yang jarang-jarang mengangkat tangan syukur,
Akan sedar cuma bila rintihan mengganti gelak tawa dunia kita,
Akan sedar cuma bila darah menjadi corak baju-baju mahal kita.

Selagi masih diberi masa,
Apa salahnya menghulurkan tangan belasan kasih kemanusiaan,
Merendahkan hati menyanjungi kesucian pengorbanan,
Insan yang bermatian-matian di medan
didoakan biarpun untuk sedetik lagi kehidupan,
Agar diakhirat kelak tiada dakwaan
apakah harga nyawa yang ENGKAU ertikan?


unknown-daei
Merville,
UCD, Belfield,
Dublin,
Ireland

05:09, 16 April 2007.
Bersamaan 28 Rabiulawal 1428H

Thursday, January 04, 2007

Cebisan Rindu III

Kesunyian hari-harimu biarlah ditemani puisi ini...Salam perjuangan kepada sahabatku, Dinie Ashrafi (Liverpool), kita masih dipayungi hamparan langit yang sama...

Puisi yang kau lakarkan
adalah garis-garis keikhlasan,
memeterai janji rindu persahabatan.

Kita berpaling ke belakang,
mengintai kegembiraan
yang memenuhi rongga-rongga pengorbanan,
mengubati keperitan
dalam melintasi titi perjuangan.

Memori itu adalah kekuatan,
jarak pemisahan bukan halangan,
kerana puisimu telah kutafsirkan,
di hamparan kanvas kehidupan,
yang ku dambakan keberkatan.

Edinburgh,
Scotland.
4 Januari 2007
19:43

Wednesday, December 06, 2006

Antara Dua Cinta - Raihan

Lagu dan lirik yang menyimpan seribu erti...

Apa yang ada jarang disyukuri
Apa yang tiada sering dirisaukan
Nikmat yang dikecap baru kan terasa bila hilang
Apa yang diburu timbul rasa jemu
Bila sudah di dalam genggaman

Dunia ibarat air laut
Diminum hanya menambah haus
Nafsu bagaikan fatamorgana
Di padang pasir
Panas yang membahang disangka air
Dunia dan nafsu bagai bayang-bayang
Dilihat ada ditangkap hilang

Tuhan.. leraikanlah dunia
Yang mendiam di dalam hatiku
Kerana di situ tidak ku mampu
Mengumpul dua cinta
Hanya cintaMu ku harap tumbuh
Dibajai bangkai dunia yang kubunuh

Thursday, November 30, 2006

Cebisan Rindu II

Sampaikan cebisan ini pada teman yang setia (Amartz)...Memori abadi dalam perjuangan ini

Basah hujan semalam
adalah rindu air mata,
menyelusuri sungai jiwa
bergerak ke muara meruntun rasa.

Bercambahkah kasih dengan tangisan?
Mekarkah cinta andai memoir dalam lipatan?

Kasih dan cinta semalam
adalah harga tidak terbayar,
kerana bukan gembira semata
kita duduk bersama.

Setia teman
adalah kenangan,
rindu dalam tangisan kesyukuran.

Merville,
Belfield, Dublin 4.
30 November 2006
15:29

Cebisan Rindu

Lakaran kerinduan buat teman sejati...Dalam mengharungi angin-angin sunyi...(Haris Noor)

Sampaikan cebisan-cebisan kerinduan ini
kepada teman yang jauh menunggu di hari-hari sunyi

Terbanglah merentas lautan dan daratan,
biarpun cebisan cuma,
ia tetap rinduku,
kasihku,
paksinya pada cinta Yang Satu


Unknown_daei
Newman Building
30 November 2006
11:40

Sunday, November 26, 2006

Kau Jatuh Lagi

Kau jatuh lagi pada kali ini
mengharap seseorang menyambutmu,
kerana kau percaya pada
tangan kerdil yang diragui kudratnya.

Kau mengalirkan air mata simpati
atas duka derita hidupmu
agar tangan kerdil tadi
bisa menghulurkan
sapu tangan kesukaannya.

Kau menunggu berhari-hari
bertongkat dagu
diam lesu
agar tangan kerdil
datang memelukmu,
mendakap hangat
kasih yang diragui ikhlasnya.

Kau seorang diri sunyi
memikirkan nasib diri
dalam diam menunggu
tangan kerdil itu lagi,
bertepuk tangan denganmu
moga hilang sepi
gerimis hati
muncul sang pelangi.

Tapi kau sedar hari ini
tangan kerdil pinjaman Illahi
tidak pernah sesekali suci
kerana baru kau tahu
tangan kerdil yang menyambutmu
sengaja bersalutkan lumpur hitam keji,
sapu tangan usang pemberiannya
adalah kain perca yang tidak dipandangnya lagi,
tangan yang mendakap dirimu
meninggalkan luka cakaran diamnya,
tepuk-tepuk tangan yang kau dengar
adalah bisikan tajam menghiris-hiris hatimu.

Kau pandang diri kau kembali,
masih berbekas luka di badanmu,
masih kotor tanganmu,
masih berdesing-desing telingamu,
dan kain perca itu kian rapuh
kau setia memegangnya.

Kau keliru
kesetiaan tidak dibalas kasih sayang
tapi diludah dengan pengkhianatan

Kau harus percaya
tangan kerdil itu tiada kuasa
jangan peduli lagi padanya.

Kau berjalan-jalan pada hari ini
sinar terang benderang di sudut sana
seolah memanggilmu datang seikhlas hati,
kau dengar sayup-sayup suara
menyatakan janji yakin sekali
sumpah yang tidak dipersoal tulusnya,
kerana kau pernah bersaksi
Dia yang kau nanti.

M15.2.1,
Merville, Belfield, Dublin
25 November 2006
23:00