Sunday, November 26, 2006

Kau Jatuh Lagi

Kau jatuh lagi pada kali ini
mengharap seseorang menyambutmu,
kerana kau percaya pada
tangan kerdil yang diragui kudratnya.

Kau mengalirkan air mata simpati
atas duka derita hidupmu
agar tangan kerdil tadi
bisa menghulurkan
sapu tangan kesukaannya.

Kau menunggu berhari-hari
bertongkat dagu
diam lesu
agar tangan kerdil
datang memelukmu,
mendakap hangat
kasih yang diragui ikhlasnya.

Kau seorang diri sunyi
memikirkan nasib diri
dalam diam menunggu
tangan kerdil itu lagi,
bertepuk tangan denganmu
moga hilang sepi
gerimis hati
muncul sang pelangi.

Tapi kau sedar hari ini
tangan kerdil pinjaman Illahi
tidak pernah sesekali suci
kerana baru kau tahu
tangan kerdil yang menyambutmu
sengaja bersalutkan lumpur hitam keji,
sapu tangan usang pemberiannya
adalah kain perca yang tidak dipandangnya lagi,
tangan yang mendakap dirimu
meninggalkan luka cakaran diamnya,
tepuk-tepuk tangan yang kau dengar
adalah bisikan tajam menghiris-hiris hatimu.

Kau pandang diri kau kembali,
masih berbekas luka di badanmu,
masih kotor tanganmu,
masih berdesing-desing telingamu,
dan kain perca itu kian rapuh
kau setia memegangnya.

Kau keliru
kesetiaan tidak dibalas kasih sayang
tapi diludah dengan pengkhianatan

Kau harus percaya
tangan kerdil itu tiada kuasa
jangan peduli lagi padanya.

Kau berjalan-jalan pada hari ini
sinar terang benderang di sudut sana
seolah memanggilmu datang seikhlas hati,
kau dengar sayup-sayup suara
menyatakan janji yakin sekali
sumpah yang tidak dipersoal tulusnya,
kerana kau pernah bersaksi
Dia yang kau nanti.

M15.2.1,
Merville, Belfield, Dublin
25 November 2006
23:00

2 Comments:

Anonymous Anonymous said...

Luka jatuh kelmarin
belum tentu kebahnya.
Belum tampak parutnya,
masih terkesan peritnya.

Selalulah kau pohon
pada Illahi,
jangan biarkan kau jatuh lagi,
namun jika Dia mahu menguji,
aku pasti Dia mahu memberi
kekuatan pada diri.
Andai kelak kau jatuh lagi,
kau mampu bangun dan berlari!

Tidak mengapa
jika kau jatuh berkali,
jika itu memberi erti,
memupuk cinta Illahi.

Humaira
November 26, 2006
16:49

Sunday, November 26, 2006 1:59:00 PM  
Blogger amin shamsudin said...

kau jatuh lagi.
Besar maksudnya.

Monday, November 27, 2006 1:22:00 AM  

Post a Comment

<< Home